Sunday, May 17, 2009

Pemuda Selar Sikap Hipokrasi Anwar

Seremban -- Pemuda UMNO hari ini menyelar sikap hipokrasi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan satu pilihanraya bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di Perak.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pembangkang khususnya Anwar Ibrahim ternyata tidak mempunyai pendirian yang konsisten dan sering berubah-ubah mengikut kepentingan sendiri.

"Kita tidak takut untuk berdepan dengan pilihanraya negeri Perak. Tetapi soal di sini, adalah soal prinsip, soal proses undang-undang di mana Anwar kata semalam bahawa cara yang terbaik untuk selesaikan kemelut politik di Perak adalah melalui pilihan raya negeri.


"Saya nak tanya beliau masa Misi 16 September yang diwar-warkan dulu, tidak pernah pun Anwar cakap untuk bubarkan Parlimen. Kalau dia cuba nak rampas kuasa kerajaan persekutuan melalui lompat parti, apa bezanya dengan apa yang beraku di Perak hari ini", katanya.

Beliau seterusnya menegaskan Anwar ketika melaungkan Misi 16 September yang lalu tidak pernah pun menyatakan untuk membubarkan parlimen dan kembalikan hak kepada rakyat.

"Kita tidak faham sikap pembangkang. Sekarang cakap bubarkan DUN tetapi dulu tidak pula bercakap soal bubarkan Parlimen. Jadi hipokrasi seumpama ini mesti kita dedahkan", ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Pemuda UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalan satu forum di Petaling Jaya semalam mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan pilihanraya baru di Perak bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Katanya kemelut politik di Perak bukanlah isu perundangan yang boleh diselesaikan di mahkamah sebelaiknya melalui pilihanraya yang bebas dan adil.

Khairy seterus menegaskan Pemuda UMNO dan Pemuda BN bersedia pada bila-bila masa dan waktu untuk menghadapi pilihan raya DUN Perak.

Namun jelas beliau Pemuda melihat kemelut di Perak menerusi dua aspek iaitu proses undang-undang dan kedua proses perundangan.


"Proses undang-undang kita kena tunggu rayuan yang difailkan berhubung kesahihan siapa MB Perak yang sebenarnya.

"Proses perundangan pula kita percaya akhirnya rakyat Perak mahu melihat siapa dan parti mana yang ada majoriti di DUN dan kita rasa pihak BN akan dapat majority tersebut. Untuk kita selesaikan dalam masa terdekat adalah adalah melalui proses perundangan", ujarnya.