Sunday, April 5, 2009

Siapa Pelopor Politik Kebencian?


UMNO adalah sebuah parti yang dari awal penubuhannya iltizam di dalam melaksanakan agenda Islam, sebagaimana yang termaktub di dalam Fasal 3.3 perlembagaan parti, yang bukan hanya melalui kata-kata tetapi terbukti dengan kemajuan yang dicapai oleh Negara dan rakyat dalam bidang keagamaan.

Justeru, Pas walaupun di hati kecil mengakui akan kejayaan UMNO di dalam memelihara kesucian agama Islam di Negara ini tetapi terpaksa menafikan hakikat tersebut demi kuasa dengan mengamalkan politik kebencian.

Pas tidak mempunyai cara lain untuk memperkecilkan perjuangan UMNO, melainkan menanam bibit kebencian di kalangan ahli-ahli dan penyokongnya kepada UMNO. Apabila kebencian menguasai diri, tidak ada lagi kebaikan yang dipandang dan dikenang.

Tidak ada yang lebih menimbulkan kebencian selain daripada melabelkan UMNO sebagai kafir, sekular, anti agama dan pelbagai lagi gelaran yang kesemuanya untuk menanamkan kebencian kepada UMNO dan pemimpin-pemimpinnya.

Walau baik mana sekalipun pembangunan berteraskan agama diusahakan oleh kerajaan di bawah kepimpinan UMNO, pasti akan kedengaran kata-kata yang tidak baik dan tiada penghargaan yang diberi seperti penubuhan Bank Islam yang disifatkan oleh pemimpin Pas sebagai kulit sahaja yang melambangkan Islam. Dan terbukti kini, modul perbankan Islam hasil pemikiran pemimpin UMNO menjadi ikutan dan rujukan pengamal kewangan di seluruh dunia.

Mereka yang berkelakuan seperti itu tidak peduli sama ada strategi politiknya itu sesuai atau tidak dengan Islam. Bagi mereka ‘matlamat menghalalkan cara’.

Meskipun jelas politik membenci ini bertentangan dengan Islam, tetapi inilah kaedah politik yang paling laris di kalangan Pas terutama penceramah-penceramah mereka.

Majlis-majlis ceramah sama ada ketika berkempen pilihan raya mahupun di luar waktu berkempen, akan menjadi lesu, hambar dan hilang tarikan apabila tidak bernada kecaman, fitnah dan kata nesta terhadap UMNO.

Golongan ini sentiasa mencanangkan akan perjuangan parti mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka lupa akan amanah Allah yang diberikan kepada mereka, sebagaimana di Firman Allah Taala : Ayat 11 Surah Al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.

Politik Pas ini menyimpang jauh daripada landasan Islam. Politik Islam mengajak umat bersatu dan melarang perpecahan, persengketaan dan perkelahian. Ini kerana perbuatan itu membawa kepada kegagalan dan kehancuran.

Selain itu, lahir pula sifat riya’, ‘ujub dan takbur di kalangan mereka yang merasakan diri mereka lebih bersih dan lebih Islam daripada orang lain, sementara perjuangan umat Islam yang tidak sealiran dengan parti mereka, dianggap sekular dan palsu.

Parti Pas yang kononnya melaung-laungkan perjuangan pembentukan Negara Islam seharusnya berkelakuan seperti muslim sejati. Mereka sepatutnya memulakan pembangunan sistem Islam dengan memperbaiki tingkah laku politik mereka supaya bersesuaian dengan ajaran Islam, meninggalkan politik maki hamun, memfitnah, mencela, mengkafirkan sesama Islam dan lain-lain perbuatan yang tidak selaras dengan tuntutan Islam.

Seharusnya, sebagai pemimpin, mereka mempengaruhi pemikiran penyokong-penyokong mereka dengan memupuk budaya yang berteraskan akhlak Islam yang baik mulia, mempengaruhi pemikiran rakyat supaya bersopan dan beradab dan bukannya dengan mengamalkan politik kebencian.

No comments: