Thursday, October 1, 2009

Mohd.Isa Calon BN
Port Dickson- "Saya yakin mampu menang dan memberi perkhidmatan cemerlang". Itulah kata-kata optimis yang dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd.Isa Abdul Samad, 59, selepas dinamakan sebagai calon Barisan Nasional(BN) untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Bagan Pinang di Port Dickson.
Beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti dan menyifatkannya sebagai satu amanah.
"Saya akan pastikan jentera parti akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan yang lebih cemerlang dan berjanji berusaha memastikan BN menang dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya kecil pada 11 Oktober ini,"tegasnya selepas pengumuman itu yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di sini.
Mengenai pilihan kecil itu yang dikatakan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, katanya, ia tidak menjadi masalah kerana pengundi di Bagan Pinang telah menyatakan sokongan padu kepada BN.
Beliau menaruh kepercayaan sokongan yang ditunjukkan oleh para pengundi dan bertekad untuk memberi perkhidmatan cemerlang apabila dipilih nanti. Muhyiddin pula memberitahu, Mohd Isa dipilih kerana pengalaman politiknya yang luas dan penerimaan masyarakat di DUN Bagan Pinang terhadap kepimpinan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang.
"Beliau adalah pemimpin yang berpengalaman dan mempunyai kekuatan tersendiri di kawasan Bagan Pingan ini, selain mendapat sokongan padu di kalangan semua ahlijawatankuasa UMNO Bahagian dan parti komponen BN di sini," katanya ketika mengumumkan nama calon BN itu.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung Sabtu ini. Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lalu, menjadi kosong berikutan kematian penyangdangnya, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu.