Thursday, December 20, 2012

Jangan 'Bereksperimen' Lagi Rakyat Malaysia



Tahun 2008 yang lalu adalah Tsunami Politik Negara kita.  Ia merupakan protes dan eksperimen rakyat dalam menyuarakan ketidakpuashatian mereka.  Baru-baru ini kemenangan besar Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya Jepun beberapa hari lepas boleh dijadikan pengajaran dan diambil iktibar oleh pengundi di Malaysia yang juga sedang menunggu PRU13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Imbas kembali pada tahun 2009 ketika LDP ditewaskan dengan begitu teruk oleh Parti Demokratik Jepun (DPJ), pengajaran yang dapat dibuat pada ketika itu adalah walaupun LDP telah memerintah Jepun lebih lima dekad lamanya, ia bukan menjadi pemangkin bahawa pengundi akan tetap mengundi mereka.

Pada ketika itu kepimpinan LDP merasa begitu selesa dengan kuasa yang dimiliki dan tidak begitu mengambil berat keluh-kesah kesempitan hidup yang dialami oleh rakyat Jepun. LDP pada ketika itu ditafsirkan begitu terasing dengan keadaan kehidupan sebenar dan akibatknya pengundi Jepun telah menghukum dengan mengundi DPJ.

Sama juga dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang merasa begitu selesa kerana telah berkuasa begitu lama, mengambil sikap mudah dan tidak mengambil berat masalah kesempitan hidup rakyat biasa seperti kos sara hidup tinggi dan kebanjiran pekerja asing.

Akibatnya pada pilihan raya umum 2011 PAP telah dihukum oleh pengundi Singapura dengan kemerosotan undi popular dan tewas buat pertama kali di Aljunid dan Hougang.

Berbalik kepada cerita Jepun tadi, walaupun DPJ yang dianggap masih mentah dan tidak mempunyai pengalaman mentadbir sebuah negara seperti mana yang dimiliki LDP, tetapi pengundi Jepun tetap menaruh kepercayaan kepada DPJ dengan harapan perubahan dapat dilaksanakan untuk meringankan beban ekonomi yang sedang ditanggung.

DPJ telah menjanjikan perubahan dan kepentingan rakyat Jepun menghadapi kesempitan ekonomi akan diberikan keutamaan oleh kerajaan DPJ. Rakyat Jepun merasa resah di bawah pentadbiran LDP kerana bermula dari tahun 1992 sehingga sekarang, ekonomi Jepun berada dalam keadaan meleset dan tidak berkembang. Lebih memeritkan lagi China telah memintas Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia pada tahun 2011.

Sebab itu dengan begitu mudah pengundi Jepun pada tahun 2009 termakan janji pilihan raya DPJ kerana rakyat tidak mempunyai pilihan lain. Tetapi setelah tiga tahun mentadbir Jepun, begitu ternyata sekali terdapat kepincangan dalam kepimpinan DPJ.

Bukan sahaja DPJ telah gagal membawa Jepun keluar daripada kemelut kemelesetan ekonomi, keadaan menjadi lebih parah apabila kadar hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melonjak sehingga 230 peratus, iaitu lebih besar daripada apa yang dimiliki oleh Greece yang pada ketika ini sedang melalui zaman ekonomi yang gelap.

Lebih menakjubkan lagi ialah DPJ bukan sahaja tidak mampu menunaikan janji pilihan raya, malah akan mengenakan tambahan cukai penggunaan yang sudah pasti membebankan rakyat biasa yang sedang menghadapi kos sara hidup yang tidak setanding dengan pendapatan yang diperolehi.

Akibat kurangnya pengalaman DPJ mentadbir sebuah negara, kecacatan ini begitu terserlah apabila Jepun menghadapi dua bencana secara berturut-turut pada tahun lepas. Kepimpinan kerajaan Jepun begitu longgar dan tidak teratur ketika bencana tsunami melanda negara itu pada Mac 2011.

Kepimpinan DPJ yang dianggap begitu mentah dalam hal ehwal dasar luar juga menghadapi masalah apabila berhadapan dengan China mengenai tuntutan bertindih Pulau Senkaku/Diaoyu di Laut China Timur. Rakyat Jepun merasa begitu aib dengan cara DPJ menangani isu tersebut dengan China yang memperlekehkan Jepun sebagai sebuah negara yang merdeka.

Pengundi Jepun sebenarnya telah melakukan satu eksperimen dengan memberi kepercayaan kepada DPJ untuk mentadbir Jepun. Eksperimen tersebut ternyata GAGAL kerana DPJ tidak mampu menunaikan janji pilihan raya.


Banyak perkara yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar akibat kesan eksperimen pengundi Jepun. Walaupun hanya tiga tahun DPJ memerintah, tetapi kemudaratan yang telah terhasil memerlukan masa yang lebih lama untuk dipulihkan keadaannya.

Paling kritikal bagi pengundi Malaysia ialah mereka telah pun melakukan eksperimen ketika pilihan raya 2008 dan hari ini setelah hampir lima tahun berlalu sudah pasti keputusan telah diperolehi daripada ujian tersebut. Gunakan keputusan ujian yang diperolehi dengan membuat pilihan yang betul dan tidak memudaratkan masa depan negara.