Saturday, April 19, 2014

#Hudud PAS adalah retorik politik semata-mata! @PPUMOnline @pemuda4puchong


SETELAH agak lama menyepi, berehat seketika kerana faktor kesihatan penulis yang tidak mengizinkan, kini penulis kembali.  Lantas penulis tiba-tiba terkejut dengan  isu hukuman hudud muncul semula. Penulis terbaca dalam akhbar, Pas dikatakan serius mahu melaksanakannya di Kelantan. Hati penulis berbisik dan tersenyum. Benarkah Pas serius? Mampukah ia melaksanakannya? Bagaimana dengan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penulis melihat cerita ini sebagai satu lagi sandiwara Pas. Sandiwara lama yang diulang tayang. Jalan ceritanya sama. Skripnya tidak berubah. Dan pastinya, penghujung cerita seperti dulu-dulu juga.

Bagi penulis, isu ini sekadar lakonan semula dalam pakatan pembangkang. Nampak jelas, ada sekurang-kurangnya tiga tujuan tersirat. 


Pertama, untuk mengaburi mata rakyat. Kedua, untuk mengalihkan perhatian. Dan ketiga, untuk "refresh" semula perhatian rakyat kepada parti tersebut.

Beranikah Pas membelakangkan DAP dan PKR? Selepas bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, menimbulkan isu tersebut, DAP dan PKR segera memberi reaksi pedas, menolaknya secara terang-terang.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub, kemudian memberi reaksi senada, bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak berganjak daripada pendirian membentangkan usul tersebut walaupun mendapat tentangan sekutu pembangkang.

Namun, DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang.

Sebelum itu, bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh, lantang memberi ingatan kepada Dewan Rakyat agar jangan membenarkan usul tersebut diluluskan dengan alasan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mencabar secara sinis "langkah mayat saya dahulu kalau mau buat hudud"...

Kemudian terbaru, Penasihat DAP, Lim Kit Siang tampil menegaskan parti tersebut tidak akan berganjak daripada pendirian menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini .

Menurut Kit Siang, DAP teguh dengan pendirian itu kerana menganggap pelaksanaan hukum hudud tidak sesuai untuk sebuah negara majmuk selain tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang.

Namun dari sudut politik, Pas akan mendapat `political mileage' terutama dalam kalangan pengikut tegar. Kerana sekurang-kurangnya, mereka boleh mendakwa telah melakukan sesuatu. Justeru, jika ia gagal dilaksana, kesalahan tidak akan diletakkan kepada mereka, sebaliknya kepada sekutu DAP dan PKR, dan mungkin juga Barisan Nasional (BN) dituduh menjadi puncanya.

P/S:  Kesimpulannya, kisah Pas membangkitkan semula isu hudud ini tidak lain daripada sekadar sebuah sandiwara. Mereka mahu menunjukkan bahawa Pas berjuang untuk agama Islam.