Saturday, December 19, 2009

Selamat Pulang Dari Tanah Suci Mekah

Alhamdulillah….Bersyukur kepada Allah SWT akhirnya pemergian Datuk Ahmad Zaki Zahid bersama isteri dan ayahbonda tercinta ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Fardhu Haji baru-baru ini disambut dengan penuh gembira oleh rakan taulan apabila beliau & isteri selamat tiba ke KLIA pada 13hb Dis 09, jam 12.30 tengah hari.

Setibanya beliau di KLIA, linangan airmata dan peluk mesra teman-teman terus mewarnai suasana. Reaksi ceria KP Putrajaya ini lebih bermakna apabila putera dan puteri kesayangannya turut berada menunggu ketibaannya.

“Alhamdulillah, walaupun cuaca di sana agak hujan dan sedikit banjir, namun segala-galanya dapat ditempuhi. Ditambah pula dengan jumlah jemaah yang begitu ramai dari segala pelusok negara serta keadaan fizikal mereka yang agak berbeza dengan kita, itu juga sebenarnya antara dugaan yang terpaksa ditempuhi. Adakalanya kita terpaksa berebut-rebut dan berhimpit dengan mereka semua. Jadi memang benarlah sesetangah orang berpendapat adalah lebih baik sekiranya mampu ketika usia masih muda dan bertenaga kita disarankan untuk menunaikan ibadah haji. Ini kerana, kita juga memerlukan stamina serta tubuh badan yang sihat untuk melaksanakannya” katanya lagi.

Mudah-mudahan kita semua mendapat keberkatan daripadaNya…..

“Welcome back Datuk Hj Ahmad Zaki.”

Tuesday, December 15, 2009

Aktiviti mewarna satukan penduduk Putrajaya

PUTRAJAYA- Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya menganjurkan pertandingan mewarna di setiap Presint secara berperingkat dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan kemasyarakatan penduduk Putrajaya.
Pertandingan ini dikategorikan dalam dua kategori iaitu Kategori A untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 7 tahun, manakala kategori B pula untuk kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun.
Setiap pemenang pertama dalam kategori masing-masing akan dikumpulkan dan dipertandingkan di peringkat Bahagian UMNO Putrajaya.
Jurucakap program, Mohd Zushaidey Zulkifli yang juga mewakili pemuda cawangan berkata, pemuda tidak pernah lupa untuk melaksanakantanggungjawab di peringkat akar umbi.
Katanya, pertandingan tersebut dibuat sebagai menyahut saranan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid agar mendekati komuniti Putrajaya yang sentiasa sibuk dengan urusan kerja seharian masing-masing, melalui satu aktiviti khas yang melibatkan golongan ibubapa dan kanak-kanak.
"Dengan adanya aktiviti sebegini, kita dapat lihat setiap ibubapa dapat turut serta dan memberi sokongan moral kepada anak mereka dalam pertandingan ini.
Dari satu sudut lain pula, saya dapat melihat setiap ibubapa dapat meluangkan masa yang bernilai bersama anak mereka memandangkan kebanyakan mereka agak sibuk pada hari kebiasaannya,"katanya.
(sumber Akhbar Sinar Harian, Selasa 15hb Dis 09, m/surat 22)

Monday, November 30, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji





Lambaian Ka’abah

Pada 20/11/09 tepat jam 7.45 pagi maka berangkatlah Ybhg.Datuk Ahmad Zaki bersama isteri & kedua ibubapanya dari Kompleks Tabung Haji,Kelana Jaya menuju ke Lapangan Terbang KLIA ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan Ibadah Haji. Ini merupakan trip yang kedua terakhir dari jemaah Msia ke Tanah Suci Mekah. Marilah kita semua sama-sama memohon doa kepada Allah SWT agar beliau serta rombongan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera, tabah dan kuatkan semangat dalam melaksanakan ibadah Haji ini. Semoga Allah SWT sentiasa bersama mereka dan dilindungi dari malapetaka/bencana. Mudah-mudahan segala-galanya dapat berjalan lancar. Semoga selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air. Insyaallah, beliau dan rombongan akan pulang ke tanah air pada 20/12/09….Amin Yarobbal alamin…(sedikit coretan sebelum bertolak ke KLIA)

Sunday, November 22, 2009

Majlis Gotong-royong Surau Fasa 1






Pemuda UMNO Bah.Putrjaya dibawah kepimpinan Ybhg.Datuk Ahmad Zaki Zahid telah berjaya mengadakan program majlis gotong-royong, mengecat dan membersihkan Surau Apartment Fasa 1 yang dianjurkan oleh Ketua Pemuda UMNO Cawangan Daisy Sdr.Azhar Abas bersama penduduk setempat. Program ini telah diadakan pada 14/11/09 (Sabtu) turut mendapat perhatian daripada YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya. Ini merupakan program yang kedua setelah Pemuda UMNO Bah.Putrjaya buat pertama kalinya membuat program yang sama di Surau Cawangan Jenjarum pada bulan Mei yang lalu. Program ini juga turut dihadiri oleh beberapa orang AJK Pemuda UMNO Putrajaya yang lain bagi membantu penduduk setempat dan memeriahkan lagi suasana. Dengan adanya program seperti ini, ianya juga dapat memupuk sikap kerjasama antara penduduk bersama Pemuda, dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim serta dapat menyatupadukan masyarakat disesebuah kawasan majoritinya masyarakat Islam.


Monday, November 9, 2009

Majlis Doa Selamat






Alhamdulillah..akhirnya hajat Ybhg.Datuk Ahmad Zaki Zahid untuk pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan Fardhu Haji pada tahun ini hampir terlaksana. Insya Allah beliau akan pergi pada 20/11/09 bersama isteri dan kedua orang ibubapanya. Marilah kita sama2 berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar beliau serta rombongannya dapat menunaikan ibadah ini serta selamat pergi dan selamat pulang. Ini ialah gambar sekitar Majlis Kenduri Doa Selamat sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah.

Saturday, October 24, 2009

Meraikan Sambutan Hari Lahir




“Allah Selamatkan Kamu…….Amri Ahmad”. Begitulah nyanyian dan doa dari rakan-rakan Pemuda Putrajaya sempena ulang tahun yang ke 27 kepada Sdr.Amri Ahmad pada 18hb Oktober 2009 yang lalu. Majlis diraikan di Kelab Tasik Putrajaya. Dikesempatan ini juga tahniah diucapkan atas lantikannya sebagai AJK Pemuda UMNO Putrajaya baru-baru ini. Diharap dengan perlantikan ini, Sdr.Amri Ahmad dapat terus berkhidmat kepada Pemuda bersama-sama rakan Pemuda yang lain serta dapat meningkatkan lagi prestasi serta komitmen dari masa ke semasa demi memperkukuhkan Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya.

Selamat maju jaya dan di panjangkan umur, Amiiin….

Tuesday, October 20, 2009

Rumah Terbuka Ketua Pemuda UMNO M'sia







Rombongan yang diketuai oleh KP Putrajaya Ybhg.Datuk Ahmad Zaki Zahid bersama-sama ahli Pemuda Putrajaya seramai 25 orang telah menghadiri jemputan ke rumah terbuka Ketua Pergerakan Pemuda UMNO M’sia di Rembau pada 18/10/09. Rombongan telah bertolak dari Putrajaya pada jam 10.30 pagi dan sampai ke Rembau lebih kurang 11.15 pagi. Setibanya rombongan, tanpa berlengah masa terus ke khemah hidangan untuk merasai ketulenan masakan daging salai masak lemak cili api. Memang tidak dinafikan masakan tradisi Negeri Sembilan ini merupakan pilihan utama rombongan Pemuda Putrajaya serta para tetamu yang hadir.

Dengan semangat setia kawan yang dibawa oleh beliau, suasana di situ sungguh meriah. Ramai para jemputan yang hadir daripada serata tempat. Diharap juga supaya sokongan yang diterima oleh beliau daripada semua peringkat akan bertambah dari masa ke semasa. (coretan kenangan di dalam galeri)..

Monday, October 19, 2009

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Pemuda UMNO Putrajaya






Bersempena sambutan syawal yang mulia, Pemuda UMNO Bah.Putrajaya telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka pada 12/10/09 bertempat di Dewan Komuniti P11, Putrajaya. Majlis ini juga secara tidak langsung telah dianjurkan bersama empat orang Exco Pemuda UMNO M’sia yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaki Zahid, Datuk Khairun, Sdr.Tun Faisal dan Sdr.Hishamudin Yahya.

Majlis yang bermula daripada jam 5.30 petang hingga 10.30 malam turut dihadiri oleh para tetamu terhormat, antaranya ialah YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansoor, Ketua Pemuda UMNO M’sia YB.Sdr.Khairy Jamaluddin, Ketua-ketua Pemuda Wilayah serta beberapa orang Exco Pemuda M’sia yang lain.

Thursday, October 15, 2009

MISI KEMANUSIAAN




MISI KEMANUSIAAN

Padang: Atas rasa keprihatinan dan tanggungjawab, Aman Malaysia semalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi terutama di beberapa lokasi pedalaman di sekitar Pariaman yang terjejas teruk akibat bencana alam itu. Misi Kemanusiaan diketuai Pengerusinya, Datuk Ahmad Zaki Zahid merangkap Ketua Pemuda UMNO Bah.Putrajaya bersama beberapa pegawai itu bermula kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) dengan memberikan barangan keperluan harian iaitu air mineral, susu tepung bayi dan makanan ringan.

Ia merangkumi 15,000 unit makanan ringan, 3,000 botol air mineral dan 500 kg susu tepung bayi berusia enam tahun ke bawah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM25,000.

Semua barangan seberat 2,300kg itu diserahkan kepada Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) melalui Ketua Umum Daerah Sumatera Darat, H.Erick Hariyona, yang bertindak sebagai orang tengah untuk mengagihkannya kepada mangsa.

Datuk Ahmad Zaki yang juga Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa Pemuda UMNO berkata, misi berkenaan dianggap sebagai langkah awal pihaknya untuk membantu mangsa terutama di likasi yang didapati kurang menerima bantuan membabitkan barangan keperluan.

“Kami (Aman Malaysia) sebelum ini sudah menghantar pegawai untuk meninjau keadaan dan hasil pemantauan mendapati mangsa kini mengalami masalah kekurangan susu epung bayi, lampin kanak-kanak dan tuala wanita.

“Berikutan itu, saya kan berbincang dengan Exco Aman Malaysia untuk meneruskan misi menghantar bantuan yang dilakukan secara berkala dalam masa terdekat termasuk mengkaji cadangan menubuhkan tabung kemanusiaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro, Jumaat 9Okt 2009(m/s 12)

Saturday, October 10, 2009

Penamaan Calon Bagan Pinang




Pada 3/10/09, sebanyak 14 buah kereta terdiri daripada Pemuda & Putera Putrajaya telah pergi ke Penamaan Calon di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang baru-baru ini, Mereka telah berkumpul di Kelab Tasik pada pukul 6.30 pagi dan bertolak pada jam 7.00 pagi bersama-sama KP Putrjaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid.

Perjalanan tergendala seketika akibat kesesakan yang teruk sepanjang jalan menuju ke tempat penamaan calon. Alhamdulillah, walaupun rombongan terpaksa melawan arus(masuk melalui pintu utama pembangkang) untuk sampai ke tempat penamaan calon, namun tiada kejadiaan yang tidak diingini berlaku.

Suasana juga agak sedikit hujan pada pagi tersebut. Namun, atas semangat perjuangan yang tinggi, mereka tetap bersama KP, Datuk Zaki dalam memberi sokongan kepada Barisan National. Kesemua rombongan berangkat pulang ke Putrajaya pada jam 2.30 petang dan terus ke Rumah Terbuka UMNO Putrajaya di Presint 9. Inilah sedikit pengalaman dan kenangan yang dapat dikongsi bersama.

Biro Putera Turun Padang







BIRO PUTERA TURUN PADANG

Biro Putera Putrajaya sekali lagi telah membantu UMNO Bahagian Putrajaya. Baru-baru ini sebelum berlangsungnya Rumah Terbuka UMNO Putrajaya, ahli-ahli Putera Putrajaya telah bersatu padu, bekerjasama dan membanting tulang empat kerat mereka dalam membuat persiapan bagi menjayakan Majlis Rumah Terbuka tersebut yang akan berlangsung pada 3/10/09.

Atas galakan, sokongan serta restu oleh KP Putrajaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid, Biro Putera Putrajaya telah bergerak dan berhimpun seramai kira-kira 62 orang bagi membuat persiapan tersebut. Siapa sangka golongan remaja ini mampu menyiapkan pemasangan khemah sebanyak hampir 20 buah, serta menyusun kerusi meja untuk rumah terbuka tersebut. Kerja-kerja persiapan ini bermula pada jam 8.45 malam dan berakhir pada jam 4.00 pagi keesokkan harinya.

Saudara Zach, Pengerusi Biro Putera berkata“saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua bagi menjayakan persiapan ini walaupun dalam keadaan serba kekurangan kita masih boleh bekerja dan menyiapkan tugasan ini yang mana bagi saya ianya satu kejayaan yang cemerlang. Inilah dia sikap serta moral yang tinggi yang ada pada Putera Putrajaya. Kami akan sentiasa bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain.

Akhirnya apabila tepat jam 4.00 pagi mereka bersurai kerana selepas subuh, mereka akan bersama-sama KP Putrjaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid dan akan bertolak ke Penamaan Calon Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Port Dickson.

Thursday, October 1, 2009

Mohd.Isa Calon BN
Port Dickson- "Saya yakin mampu menang dan memberi perkhidmatan cemerlang". Itulah kata-kata optimis yang dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd.Isa Abdul Samad, 59, selepas dinamakan sebagai calon Barisan Nasional(BN) untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Bagan Pinang di Port Dickson.
Beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti dan menyifatkannya sebagai satu amanah.
"Saya akan pastikan jentera parti akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan yang lebih cemerlang dan berjanji berusaha memastikan BN menang dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya kecil pada 11 Oktober ini,"tegasnya selepas pengumuman itu yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di sini.
Mengenai pilihan kecil itu yang dikatakan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, katanya, ia tidak menjadi masalah kerana pengundi di Bagan Pinang telah menyatakan sokongan padu kepada BN.
Beliau menaruh kepercayaan sokongan yang ditunjukkan oleh para pengundi dan bertekad untuk memberi perkhidmatan cemerlang apabila dipilih nanti. Muhyiddin pula memberitahu, Mohd Isa dipilih kerana pengalaman politiknya yang luas dan penerimaan masyarakat di DUN Bagan Pinang terhadap kepimpinan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang.
"Beliau adalah pemimpin yang berpengalaman dan mempunyai kekuatan tersendiri di kawasan Bagan Pingan ini, selain mendapat sokongan padu di kalangan semua ahlijawatankuasa UMNO Bahagian dan parti komponen BN di sini," katanya ketika mengumumkan nama calon BN itu.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung Sabtu ini. Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lalu, menjadi kosong berikutan kematian penyangdangnya, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu.

Saturday, September 12, 2009

Memorandum Bantah






Pemuda UMNO serah memorandum bantah

KUALA LUMPUR 11 Sept,-Seramai 20 ahli Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Indonesia berhubung tindakan anti-Malaysia segelintir rakyat di negara mereka, baru-baru ini.

Mereka berarak ke Pejabat Kedutaan Indonesia di Jalan Tun razak kira-kira pukul 4.30 petang dengan membawa beberapa kain rentang, antaranya bertulis: ‘Mana Pergi Budi Bahasa Rumpun Yang Sama’ dan ‘Jalur Gemilang Maruah Kami’.

Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zaki Zahid yang mengetuai perarakan itu kemudain menyerahkan memorandum tersebut kepada Kaunselor Menteri Penerangan, Sosial dan Budaya Indonesia, Widyarka Ryananta.

Menurut Datuk Ahmad Zaki, dalam pertemuan itu, Pemuda UMNO meminta Indonesia mengambil tindakan tegas terhadap anasir-anasir yang cuba mengeruhkan hubungan antara kedua-dua Negara.

“Selain itu, pihak media Indonesia juga diminta agar lebih bertanggungjawab dan tidak mensensasikan isu kecil sehingga menjadi besar. Pemuda UMNO melalui memorandum itu juga meminta hubungan istimewa kedua-dua buah Negara terus diperkasakan dalam memacu kemakmuran dan ekonomi serantau,”katanya.

(akhbar Utusan Malaysia,Sabtu 12 Sept.2009, muka surat 27)


Sunday, September 6, 2009

Kempen Hari Merdeka&Wabak H1N1










Pergerakan Pemuda UMNO bersama Putera Putrajaya di bawah Unit Keselamatan telah menganjurkan Kempen Kesedaran mengenai kemerdekaan dan wabak H1N1 pada 1 Ramadhan yang lalu. Kempen ini telah mendapat liputan dan telah dimuatkan di dalam Akhbar Sinar pada 26 Ogos 2009 (m/s 22)

Kibaran Jalur Gemilang mampu menjadi pembangkit semangat kemerdekaan bagi masyarakat dalam usaha menghayati sambutannya yang ke 52. Menyedari perkara tersebut, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya mengambil inisiatif menyemarakkan lagi semangat sambutan kemerdekaan tahun ini dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai secara percuma. Program yang dianjurkan itu bertujuan menyemarakkan sambutan kemerdekaan dalam kalangan warga Putrajaya untuk dihayati, sebagai lambang patriotisme menjadi anak Malaysia. “Kita mengambil kesempatan sebagai pemimpin golongan belia di kawasan ini, kita merasa terpanggil untuk menjadi penggerak kepada masyarakat setempat agar turut sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai kemegahan atas kemerdekaan yang kita kecapi sejak 52 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya lagi, semangat merdeka perlu terus disemai bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa payahnya perjuangan menjadi Negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur penjajahan.

Sementara itu pada majlis yang sama, Putera Putrajaya turut mengedarkan sejumlah 400 unit topeng mulut dan risalah mengenai wabak Influenza A (H1N1) kepada pengunjung dan peniaga di bazaar Ramadan Putrajaya dalam usaha menangkis serangan penyakit berkenaan yang menjadi kebimbangan masyarakat pada hari ini.

“Pada hari ini menunjukkan penularan wabak H1N1 berada pada tahap yang membimbangkan, namun jika diperhatikan, bilangan mereka yang memakai topeng mulut sebagai langkah pencegahan jangkitan adalah terlalu sedikit. Situasi ini adalah kritikal kerana saban hari bilangan mereka yang menjadi mangsa kian bertambah dari sehari ke sehari, namun agak membimbangkan kerana golongan yang prihatin memakai topeng mulut semasa berada di tempat terbuka adalah sangat minima,”katanya.

Dalam pada itu hadir sama menyempurnakan program tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya, Y.Bhg Datuk Ahmad Zaki Zahid..

Tahniah kepada Pemuda & Putera Putrajaya