Monday, January 6, 2014

Intipati Memoranda Bantahan HardRockCafe(HRC) kepada @TanSriAseh @putrajaya_13 @putrajayacorp



MEMORANDA PERGERAKKAN PEMUDA UMNO PUTRAJAYA

YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr. Aseh Bin Haji Che Mat
Presiden
PERBADANAN PUTRAJAYA
Kompleks Perbadanan Putrajaya,
Persiaran Perdana, Presint 3,
62675 Putrajaya
Malaysia

6hb Januari 2014

YBhg Tan Sri,

MEMORANDA BAGI MEMBANTAH CADANGAN UNTUK MEMBUKA HARD ROCK CAFE (HRC) DI PUTRAJAYA.

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Bahawasanya melalui Memoranda ini, KAMI Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, dengan penuh sepakat dan sebulat suara menyatakan bantahan terhadap cadangan mewujudkan tempat/pusat hiburan Hard Rock Cafe adalah seperti berikut:

1.    YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr. Aseh Bin Haji Che Mat sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sepatutnya menghormati sensitiviti umat Islam terutamanya di Putrajaya ini yang hampir 99% adalah Melayu yang beragama Islam.

2.    Pembinaan Putrajaya atas ilham yang dicetuskan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir adalah berkonsep dan bercirikan Islam.  Pembukaan Hard Rock Cafe akan menjurus ke arah perkara-perkara maksiat dan menggalakkan anak-anak  Melayu yang datang untuk menikmati minuman keras/beralkohol serta mendedahkan mereka kepada budaya sosial yang akan merosakkan akhlak.


3.    Putrajaya telah dikenal pasti sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan, BUKANNYA tempat/pusat hiburan.   Tidak pernah wujud cadangan untuk mengadakan tempat/pusat hiburan di Putrajaya sejak ia dibangunkan.

4.    Alasan untuk menggalakkan team motor berkunjung ke Putrajaya tidak boleh diterima sama sekali kerana sebelum ini pelbagai acara permotoran telah dijalankan di Putrajaya walaupun tiada pusat hiburan tersebut dan pelbagai lagi acara antarabangsa telah dan akan diadakan secara berperingkat bagi menarik pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014.


5.    Di Negara kita sudahpun ada 3 (Tiga) Hard Rock Cafe iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.  Jarak yang paling hampir dengan Putrajaya ialah di Kuala Lumpur hanya 40 minit sahaja.  Justeru itu, adalah TIDAK relevan ianya dibuka di Putrajaya.

Dengan perkara-perkara di atas, kami Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya mengecam dan menolak sekeras-kerasnya cadangan untuk membuka Hard Rock Cafe di Putrajaya ini.  Kami mahu Putrajaya dikekalkan sebagai pusat perkembangan Islam dan pastinya kebanggaan buat orang Melayu. 
Sekian.  Wassalam.

Yang benar,


AHMAD FAISAL ABDUL KARIM
Ketua Pergerakkan Pemuda UMNO Putrajaya.