Thursday, February 27, 2014

Portal Aduan #ForTheRakyat initiatif Pemuda UMNO Msia @PPUMOnline @SheikhNafiq @Khairykj @azwanbro @ibdil


Syabas Pemuda Umno Malaysia kerana telah melancarkan portal aduan #ForTheRakyat sebagai platform kepada orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan untuk diketengahkan kepada pihak berwajib!!

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, menerusi portal berkenaan, aduan yang dikemukakan rakyat akan diambil tindakan oleh biro-biro yang terlibat untuk disalurkan kepada agensi terbabit.
“Ia akan memudahkan pihak kerajaan melalui agensi-agensinya, pertubuhan bukan kerajaan yang berkenaan atau mana-mana pihak yang prihatin untuk memberi perhatian dan membantu menangani permasalahan rakyat,” katanya pada sidang media di pejabat Pemuda Umno, semalam.

Klinik tersebut akan beroperasi pada hari Selasa bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari bertempat di lobi Pejabat Umno, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.


Beliau berkata, antara peranan portal ini adalah sebagai pusat pengumpulan aduan dan permasalahan rakyat dari segenap pelusuk negara.

Katanya, portal di bawah kelolaan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno merupakan inisiatif pergerakan itu dalam mengambil peduli hal ehwal berkaitan rakyat.

Selaras dengan inisiatif berkenaan, katanya, Biro Aduan Komuniti juga turut mewujudkan ‘Klinik Pemuda Umno’ yang membolehkan rakyat di semua peringkat tampil mengemukakan aduan secara bersemuka kepada mereka.

“Rakyat boleh datang ke klinik ini untuk mengemukakan aduan dan permasalahan mereka kepada pegawai yang bertugas dan aduan akan diambil tindakan,” katanya.

Tambah Khairul Azwan, orang ramai yang membuat aduan turut diberikan khidmat nasihat guaman PERCUMA dengan bantuan Sukarelawan Peguam Untuk Semua, Sukaguam

Khairul Azwan berkata, Pemuda Umno akan bertindak sebagai ejen pembongkar kepincangan pentadbiran kerajaan Selangor menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang 23 Mac depan.

Katanya, Barisan Nasional sebagai pembangkang di Selangor perlu memberi kesedaran kepada pengundi mengenai kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.

“Kita masuk sebagai pembangkang dan sebagai 'underdog', kerana Selangor adalah negeri pembangkang dan kita perlu berhadapan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerana itu lah apabila bertanding kali ini, semangat kita berkobar-kobar untuk menang.

“Jadi bila masuk sebagai pembangkang tu kita cari masalah rakyat atau masalah komuniti," katanya.

Khairul Azwan berkata, Pemuda Umno sudah menggerakkan jenteranya khusus bagi mendekati pengundi muda di Dun berkenaan.

Jelasnya selain mengambil pendekatan mengadakan pertemuan secara peribadi dan berkelompok, jentera sayap itu juga giat mendekati pengundi dan menyampaikan maklumat menerusi media sosial.