Monday, June 10, 2013

"I will kill you...-"Ugutan bunuh!!


Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menerima ugutan bunuh melalui satu panggilan telefon kelmarin yakin insiden itu bermotifkan politik.

Walaupun tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, namun beliau tidak menolak kelantangannya mendedahkan kepincangan pembangkang khususnya DAP menjadi punca kejadian itu.

"Saya tidak mahu menuduh sesiapa tanpa sebarang bukti, itu adalah kerja polis.
"Tetapi saya sangat pasti kejadian ini bermotifkan politik kerana sejak akhir-akhir ini saya sering dikritik malah pernah diarahkan untuk menutup mulut daripada terus mendedahkan apa-apa rahsia DAP oleh Pengerusinya, Karpal Singh.

"Saya diugut untuk mengambil tindakan undang-undang sebelum ini tapi ini ugutan baru. Saya risau keselamatan hidup saya dan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Tunku Aziz menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali sekitar pukul 10.10 malam pada hari Jumaat lepas ketika sedang berehat bersama keluarga di rumahnya.

Pemanggil itu hanya menyebut, I will kill you (saya akan bunuh kamu) sebelum bertindak memutuskan talian.

Baru-baru ini Tunku Aziz menerima kecaman hebat berikutan kelantangannya mencabar Penasihat Seumur DAP, Dr. Chen Man Hin supaya tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau tentang kebangkitan Malaysia Spring dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0.

Beliau turut mendedahkan DAP gagal memaklumkan kepada 753 daripada 2,576 ahlinya bagi menghadiri pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) berkenaan pada 15 Disember tahun lalu sekali gus menimbulkan persoalan berhubung status pemilihan tersebut.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera terhadap tentera siber DAP, Red Bean Army yang giat menabur fitnah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Tunku Aziz juga menafikan dirinya tergugat dengan ancaman bunuh yang diterimanya malah berikrar akan terus berjuang 'menghapuskan' agenda pembangkang.

"Ugutan ini tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk terus mendedahkan kepincangan pembangkang. Saya tidak akan sesekali berhenti demi negara yang saya cintai ini," tegasnya.

Tunku Aziz menyertai DAP pada tahun 2008 sebelum dilantik menjadi Naib Pengerusi parti itu setahun kemudian.

Beliau keluar parti pada Mei 2012 selepas mengkritik pendirian kepimpinan pembangkang menyertai perhimpunan haram yang mencetuskan huru-hara di sekitar Kuala Lumpur.