Wednesday, October 2, 2013

Transformasi Mukriz dalam 'meremajakan' UMNO bagi persiapan PRU14 @putrajaya_13



Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir telah mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Mukhriz berkata beliau membuat keputusan itu setelah menerima banyak nasihat daripada setiap lapisan kepimpinan dan setelah memikirkan jawatan yang sesuai untuk beliau dipertanggungjawabkan.

“Saya telah tanyakan diri saya, apakah saya bersedia. Saya telah menimbangkan perkara ini dari setiap sudut.

“Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia;

Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin yang telah mengumumkan akan bertanding ialah Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata sebagai pemimpin negeri, beliau tidak dapat tidak perlu mendengar nasihat dan menerima desakan daripada pengikut.

“Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi. Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi satu harapan.

“Sebagai pemimpin, saya semestinya tidak boleh lari daripada perkara ini, yang juga merupakan tanggungjawab,” katanya.

Selain itu, Mukhriz juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Mukhriz berkata hasrat beliau bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti semata-mata untuk menterjemahkan transformasi yang hendak dilakukan dalam parti menerusi slogan ‘Berani Berubah’ yang beliau gunakan ketika bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada 2009.

Katanya parti pembangkang dilihat telah memulakan persiapan ke arah pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan terbuka kepada orang muda sehingga mereka turut terbabit secara aktif dalam melakar hala tuju parti.

“Malah sehingga sampai ke tahap boleh pegang jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan negeri yang mereka kuasai…orang muda boleh pegang jawatan penuh tanggungjawab. Bila sampai PRU14, mungkin 2018, orang macam ini yang akan mengetuai pilihan raya.

“Waktu tu mungkin pemimpin dinosaur dalam Pakatan Rakyat dah tak ada. Yang ada pemimpin baharu, pelapis, dan ada daya tarikan sendiri tetapi berpengalaman sebab dah diberi pendedahan lebih awal. Orang macam ini yang Umno akan berhadapan.

“Kalau pembaharuan tak dibuat dalam Umno dan BN (Barisan Nasional) cuba bayangkan kemungkinan untuk kita dapat pertahankan 133 kerusi Parlimen yang ada sekarang, malah untuk tambah lagi. Itu yang saya bimbangkan. Wajib (berubah),” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata kedudukan beliau sebagai Menteri Besar mungkin menjadi kekangan kepada beliau dalam mendapatkan sokongan daripada perwakilan di seluruh negara.

“Sebagai calon kena minta sokongan dari seluruh negara. Di sini saya ada kekangan. Saya Menteri Besar di Kedah ada tanggungjawab perlu digalas. Mungkin tak ada masa seluas-luasnya untuk bergerak banyak kali ke seluruh negara untuk berkempen. Bukan hanya (perlu dapat sokongan dari perwakilan) di utara walaupun daripada enam nama untuk calon Naib Presiden saya seorang dari utara,” katanya.