Wednesday, November 6, 2013

PRK Sg.Limau-Pelbagai faktor kekalahan BN, akur dengan keputusan @putrajaya_13 @MukhrizMahathir




Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan pelbagai faktor menjadi punca kegagalan Barisan Nasional (BN) menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau daripada Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Mukhriz berkata, BN yang mendahului kiraan undi pada peringkat awal akhirnya terpaksa akur apabila undian daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Besar mula dikira.
“Di sini timbul persoalan bagaimana satu PDM seperti Bukit Besar boleh mempunyai jumlah pengundi yang begitu ramai sedangkan yang banyak di situ cuma sekolah pondok sahaja dan jumlah penduduk sekitar ratusan orang. Sejak dahulu lagi, tempat ini sering memberi undi kepada Pas.

“Bukan bermaksud kita persoalkan tetapi masih berlegar dalam pemikiran. Adakah tindakan mendaftar orang luar sebagai pengundi boleh diterima sebagai amalan demokrasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya punca BN gagal mengalahkan Pas apabila calonnya, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 berbanding 12,069 oleh calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, penolakan terhadap BN di Bukit Besar oleh pengundi tidak akan dijadikan sebab untuk BN menjauhi kawasan itu, sebaliknya akan terus mendekati pondok dalam usaha menegakkan syiar Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, Mukhriz melahirkan rasa kecewa apabila terdapat beberapa masjid dalam kawasan ini yang menjemput imam dari luar pada solat Jumaat lepas dan menyampaikan khutbah politik dan mendoakan kemenangan Pas.

“Ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati titah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang tidak mahu masjid dijadikan tempat berpolitik,” katanya.

Ditanya adakah wujud unsur sabotaj dalam kalangan ahli UMNO sehingga menggagalkan hasrat BN di Sungai Limau, Mukhriz menegaskan perkara demikian tidak berlaku kerana statistik menunjukkan hampir 100 peratus ahli UMNO keluar mengundi.

Sementara itu, Mukhriz berkata, peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN dalam PRK Sungai Limau merupakan perkara positif.

Katanya, BN menerima dengan positif kekalahan parti itu dalam PRK DUN Sungai Limau dan tidak akan meninggalkan pengundi yang telah menyokong BN di kawasan tersebut.

“BN telah berjaya mengurangkan majoriti Pas lebih 1,000 undi dan aspek itu merupakan satu kemenangan baik kepada BN.

“Saya juga pernah sebut sebelum ini, kalah atau menang BN di sini tidak memberi kesan kerana BN masih kekal di Kedah dan saya masih Menteri Besar Kedah,” katanya.

Mukhriz berkata, BN juga akan meneruskan dua projek di kawasan Sungai Limau iaitu projek jalan raya antara Guar Chempedak ke Pulau Bunting serta mempertimbangkan pembinaan sebuah pelabuhan di Pulau Bunting seperti yang dijanjikan kerana parti itu tidak bersikap pilih kasih.

“Kita tetap bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di sini, kita akan teruskan dengan dua projek tersebut,” jelasnya.

Ujarnya, kemenangan Pas juga bukan disebabkan calon Pas, Mohd. Azam adalah calon terbaik parti itu.

“Calon BN, Ahmad Sohaimi dan Mohd. Azam kedua-duanya masih baharu dalam soal politik serta bukan calon ‘heavy weight’.

“Mungkin ada unsur lain seperti ideologi politik yang sebabkan calon BN kalah,” jelasnya.