Saturday, November 30, 2013

TERBARU: Senarai baru Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO wakili semua golongan @putrajaya_13


Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali dengan nama jolokan Ustaz Kazim merupakan antara sembilan individu yang dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) baharu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pelantikan tersebut diputuskan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, pelantikan sembilan individu terdiri daripada pelbagai latar belakang itu melengkapkan jumlah 13 ahli MT yang dilantik Presiden UMNO sebagai tambahan kepada saf 25 orang yang dipilih menerusi pemilihan parti baru-baru ini.
Menurutnya, lapan yang lain ialah Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.
"Turut tersenarai ialah Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Johari Abdul Ghani, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, Najib turut mengumumkan pelantikan empat ahli MT baharu bagi mewakili sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Pelantikan yang dibuat mengikut Perlembagaan parti itu melibatkan Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd. Dun, Penolong Setiausaha Wanita, Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri, Zahida Zarikh Khan.

Menurut Tengku Adnan, keputusan Najib melantik sembilan individu berkenaan adalah langkah tepat dan diyakini mampu membantu saf MT selain dapat menyumbang input terbaik kepada parti.

"MT lantikan diyakini dapat memberi pandangan yang baik kepada parti dan akan bergerak bersama barisan MT yang lain.

"Kesemua sembilan ahli MT lantikan ini akan dijemput untuk turut serta dalam mesyuarat kedua dalam masa terdekat, mereka juga akan akan mengangkat sumpah pada mesyuarat yang sama," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Ustaz Kazim sebagai ahli MT, Tengku Adnan berkata, pelantikan tersebut berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang agama.

"Kita bukan melantik Ustaz Kazim seorang sahaja, Asyraf Wajdi juga merupakan individu yang berlatarbelakangkan agama yang menjadi pilihan Presiden UMNO, perkara ini tidak jadi isu.

"Saf kita terdiri daripada pelbagai latar belakang, contohnya dalam bidang pendidikan kita ada bekas Naib Canselor UiTM, dan bagi golongan muda kita ada Irmohizam dan Mohd. Sharkar," katanya.