kyat pada Pilihan Raya
Umum Ke-12. Tiga pihak yang dinamakan sebagai defendan itu ialah
kerajaan negeri Selangor selaku defendan pertama; Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim (gambar kecil) (defendan kedua) dan Syarikat
Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai defendan ketiga.
Seorang penduduk Pangsapuri Seksyen 7, di sini, Sahari Basri, 65, selaku
plaintif bersama 710 pengguna air di negeri itu, memfailkan tuntutan di
kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kamarudin
& Partners. Kira-kira 100 pengguna air, ahli-ahli pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dari Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu
(PVTM) hadir mengiringi pengguna air di negeri itu dan peguam, Kamarudin
Ahmad.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif
mendakwa, semasa tempoh berkempen untuk pilihan raya pada Mac 2008,
defendan pertama telah berjanji kepada rakyat di negeri itu untuk
memberikan air percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan kepada
pengguna domestik sekiranya defendan pertama menang pilihan raya
tersebut. berdasarkan manifesto defendan pertama tersebut, setiap
pengguna air domestik di negeri itu yang mempunyai akaun bekalan air
dengan defendan ketiga layak menerima subsidi sebanyak RM11.40 sebulan,
tidak kira sama ada pengguna menggunakan meter air individu atau pukal.