Sunday, September 15, 2013

Juara Pesta BolaMerdeka edisi 41-Tahniah Harimau Muda! @Bola_Malaysiaa @harimaumalaya7 @Khairykj @putrajaya_13


Malaysia menjulang trofi Pestabola Merdeka Edisi Ke-41 buat kali ke-10 selepas mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Jaringan daripada Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-29 dan gol pada penghujung permainan oleh Junior Eldstal cukup buat Malaysia memahat kemenangan kedua ke atas lawan mereka itu.
Biarpun rentak anak-anak buah Ong Kim Swee mungkin tidak begitu garang, kekentalan barisan pertahanan yang diterajui Mohd. Fadhli Mohd. Shas serta kecekapan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi memastikan Myanmar tunduk kepada Harimau Muda.

Kejayaan itu juga membolehkan Malaysia membawa pulang RM164,500 dan mengulangi pencapaian pada 2007 dengan mengalahkan lawan sama 3-1 di Stadium Shah Alam.

Kemenangan ini juga memberi isyarat jelas kepada pasukan-pasukan lain tentang keseriusan Harimau Muda memburu pingat emas hatrik pada Sukan SEA 2013, setelah mencatat kemenangan empat kali berturut-turut termasuk dua ke atas pencabar utama, Myanmar yang bakal menjadi tuan rumah pada temasya dwi tahunan itu.

Tambah membanggakan, Wan Zack Haikal Wan Nor diumumkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan sementara Rozaimi mendapat Anugerah Penjaring Terbanyak Kejohanan.

Kim Swee membuat sedikit kejutan dalam senarai kesebelasan utama apabila menyenaraikan Rozaimi buat kali pertama bergandingan bersama A. Thamil Arasu manakala Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan D. Saarvindran di sayap kiri.

Percaturan itu nampak jelas memberikan pulangan setimpal ekoran larian lincah Rozaimi kerap kali membuatkan pertahanan Myanmar kelam kabut, namun aksi Junior tampak kurang bertenaga di bahagian tengah selepas baru pulih daripada masalah keracunan makanan.

Walaupun penguasaan bahagian tengah jelas kurang memihak kepada Harimau Muda, kerap kali serangan pantas yang digerakkan Mohd. Irfan Fazail hampir meletakkan Malaysia di hadapan lebih awal cuma Rozaimi gagal mengambil peluang terhidang pada minit ke-2 dan 7.

Hasil gerakan pantas Wan Zack Haikal Wan Nor, dia masih mampu melepaskan percubaan dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap kemas Pyaye Phyo Aung dan Rozaimi yang berada berdekatan, mudah menolak masuk ke dalam gawang yang ternganga.

Rozaimi sepatutnya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-34, namun tandukannya yang berpunca daripada situasi sepakan sudut pantas ditepis keluar oleh Phyo Aung dan Kyi Lin hampir mencemaskan penyokong Harimau Muda sebelum babak pertama berakhir, mujur percubaannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Momentum Harimau Muda sedikit menurun pada babak kedua dengan Myanmar bertali arus melancarkan serangan tetapi kecekapan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi menjadi penghalang apabila beberapa kali menyelamatkan pintu gol negara daripada ditembusi oleh David Htan pada minit ke-58 dan Kyaw Ko Ko, dua minit kemudian.

Fadhli Shas terlepas peluang mengukuhkan kedudukan Harimau Muda pada minit ke-76 apabila tandukannya sekadar singgah di palang hasil hantaran menarik ketua pasukan, Irfan Fazail.

Selepas acap kali diasak oleh Myanmar yang terdesak mendapatkan gol penyamaan, akhirnya Junior memastikan kelegaan seluruh rakyat Malaysia apabila larian solo pemain kacukan Sweden-Sabah itu memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum menewaskan Phyo Aung melalui rembatan leret, dua minit sebelum perlawanan ditamatkan.

Jaringan itu memastikan suasana stadium bergema dengan sorakan Harimau Muda dan membunuh semangat perjuangan Myanmar sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pencabar utama yang perlu diberi perhatian di Sukan SEA, Disember ini.

Dalam satu lagi perlawanan yang diadakan pada sebelah petang, Singapura memastikan mereka menamatkan kejohanan ini dengan bukan berada di tempat tercorot selepas menewaskan Thailand, 2-1.

Gol pada minit terakhir masa kecederaan oleh Muhd. Faris Ramli berjaya mengecewakan Thailand yang beberapa minit sebelum itu menyamakan kedudukan melalui Hasan Maeroh pada minit ke-82 sementara gol pendahuluan Singapura dicipta Muhd. Shahfiq Ghani pada penghujung separuh masa pertama.