Monday, September 16, 2013
Tak lama lagi ada zoo/taman safari di Putrajaya? @putrajayacorp @putrajaya_13 @TengkuAdnanReal
Perbadanan Putrajaya (PPj) merancang mewujudkan sebuah zoo ataupun taman safari bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong tempatan mahupun antarabangsa ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Presidennya, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, PPj telah menerima cadangan tersebut daripada pelbagai pihak yang melihat kaedah tersebut sebagai langkah terbaik untuk menarik perhatian orang ramai terutamanya pelancong asing.
Beliau berkata, perkara tersebut masih dalam peringkat cadangan, namun akan dipertimbangkan kerana dengan adanya zoo ataupun taman safari akan memeriahkan lagi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
"Perkara ini masih dalam perancangan, kita akan pertimbangkan untuk mewujudkan zoo mahupun taman safari yang beroperasi pada waktu siang ataupun malam.
"PPj sedar lokasi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan agak terbatas, namun kajian akan dilakukan untuk tujuan tersebut.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kucing terbiar di sekitar Putrajaya, Aseh berkata, PPj akan mengadakan operasi menangkap kucing berkenaan dan meletakkan haiwan tersebut di satu tempat yang dikhaskan.
"Langkah berkenaan diyakini dapat mengelak haiwan berkenaan daripada berkeliaran di premis-premis sekitar Putrajaya sekali gus mencemarkan pandangan pengunjung ke sini," katanya.
Sementara itu, Pameran Rumah Raksasa dan Dinosaur di Marina Putrajaya, Presint 5 di sini bakal menjadi tarikan baharu pengunjung ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.
Pameran bermula 31 Ogos hingga 28 Februari 2014 bakal memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pendidikan prasejarah dan saintifik secara interaktif serta animatronik.
Melalui pameran itu para pengunjung bukan sahaja dapat mengembara ke zaman prasejarah malah menyedari tentang kepentingan bidang sains dan teknologi.
Bahan teknologi yang dibawa ke pameran ini tidak kurang hebatnya, sebelum hanya boleh diperoleh di muzium sahaja.
Bahan-bahan pameran telah direkacipta di salah sebuah studio terkenal di Amerika Syarikat yang bertanggungjawab dengan pembikinan filem Hollywood, Honey, I Shrunk The Kid.