Sunday, September 15, 2013

Sudahkah anda mengambil borang pendaftaran calon untuk bertanding? @putrajaya_13


Sebanyak borang 114 pendaftaran calon pemilihan UMNO sudah pun diambil oleh calon-calon yang mahu bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT), Exco Wanita, Pemuda dan Puteri pada hari pertama borang itu dikeluarkan hari ini di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Jumlah itu membabitkan 31 borang MT, Pemuda (36), Wanita (35) manakala Puteri (12).
Antara calon-calon yang dilihat hadir sendiri untuk mengambil borang tersebut ialah Datuk Seri Ali Rustam; Datuk Seri Idris Haron; Datuk Seri Ismail Sabri; Datuk Seri Idris Jusoh; Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mahu mempertahankan jawatan MT.

Antara muka baharu yang hadir bagi merebut jawatan MT ialah Exco Pemuda, Datuk Sohaimi Shahadan manakala Datuk Abdul Fattah Abdullah pula mahu mempertahankan jawatan Pengerusi Tetap Pemuda.

Selain itu, Exco Pergerakan Wanita, Datuk Hasnah Salam antara yang paling awal tiba di kaunter pendaftaran bagi mempertahankan jawatan Exco Wanita selain calon Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin (Ahli Parlimen Masjid Tanah) dan calon Naib Ketua Puteri, Nazliah Ali (Ketua Puteri UMNO Tawau).

Menurut Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh, pihaknya mengedarkan lebih 4,000 borang pencalonan untuk pemilihan peringkat pusat dan 100,000 borang pencalonan untuk 191 bahagian di seluruh negara.

"Saya ingatkan sekali lagi, borang pencalonan adalah percuma.

"Borang-borang ini boleh didapati hari ini di kaunter yang dibuka di Aras 4 Menara Dato' Onn, PWTC atau pejabat bahagian masing-masing sehingga 20 September ini, sebelum tarikh untuk menyerahkan borang pendaftaran calon pada Sabtu depan (21 September)," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Abd. Rauf berkata, sistem pemilihan baharu UMNO yang pertama kali dilaksanakan tahun ini membuka peluang luas kepada mana-mana ahli UMNO untuk bertanding asalkan mempunyai kelayakan minimum iaitu sekurang-kurangnya menjadi ahli parti selama sepenggal atau tiga tahun, untuk layak bertanding di peringkat bahagian.

"Semua calon yang telah lengkap mengisi borang bersama jawatan yang mahu ditandingi perlu menghantar pada tarikh yang ditetapkan dengan menghantar sendiri atau melalui wakil yang mempunyai surat kuasa," katanya.

Borang pendaftaran calon pemilihan UMNO boleh diambil secara percuma bermula hari ini hingga 20 September bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Bagi jawatan di peringkat pusat, borang tersebut boleh diambil di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur manakala jawatan di peringkat bahagian diambil di pejabat UMNO bahagian masing-masing.