Jam 1.30 tengahari tadi saya menghubungi adik Izan Suhaila Mohd Ali, Saiful Riza, 31 tahun, berada di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.
Hayati kisah getir ditempuh oleh Izan dan anaknya, Maryam Sofea Mohd Reza, 14 bulan, dilarang menaiki pesawat Air Asia AK 1455, penerbangan dari lapangan terbang di Ho Chi Minh ke Kuala Lumpur.
“Saya berasa musykil. Maryam kena chicken pox kira-kira seminggu sebelum berangkat ke Ho Chi Minh, Vietnam, pada hari Rabu, 15 Mei 2013. Doktor di Malaysia telah mengesahkan tahap kesihatan Maryam baik sebelum kami terbang, malah malam sebelum ke sana, Maryam sekali lagi dibawa menjalani pemeriksaaan doktor. Berikutan pengesahan itu berstatus sama, kami membawa Maryam bersama,” ujar Saiful.
Memang Air Asia berhak melarang penumpang untuk tidak menaiki pesawat jika didapati membahayakan nyawa penumpang lain. Maklumat itu tercatat di salinan terma dan syarat perincian penerbangan.
“Masalahnya, sehingga malam tadi, kami sekeluarga masih lagi kabur, mengapakah Maryam tidak dibenarkan pulang? Dia tidak demam dan apabila ditanyakan kepada kakitangan Air Asia di lapangan terbang Ho Chi Minh, mereka tidak langsung memberikan penjelasan.
Jururawat memeriksa suhu badan Maryam hanya membisu. Mungkin kerana dia tidak mampu berbahasa Inggeris,” kata kakitangan agensi pelancongan itu.
“Jauh bezanya berbanding kemahiran bahasa Inggeris Tony Fernandes,” celah saya.
Di ruangan komen entri terdahulu, muncul kenyataan, petugas melarang Maryam menaiki penerbangan, BUKAN kakitangan Air Asia tetapi pekerja lapangan terbang.
Jika kenyataan itu sahih, di manakah wakil Air Asia di Ho Chi Minh? Wakil bertugas untuk membantu sekiranya penumpang mendepani masalah? Adalah kebajikan mereka diserahkan sepenuhnya kepada ground staff, didakwa pekerja lapangan terbang?
Adakah kejadian berlaku, bukti nyata nasib penumpang sah pesawat Air Asia boleh diperkotak-katikkan sesuka hati? Jika wanita di dalam gambar di atas TIDAK terbabit dengan syarikat penerbangan tambang murah itu, mengapakah mereka bertugas di pintu 18 terpampang logo Air Asia?
Maaf, kerana saya amat jarang menaiki pesawat Air Asia, justeru memerlukan sedikit pencerahan.
“Seperkara lagi, sewaktu kami menaiki pesawat Air Asia di LCCT pada jam 7 pagi Rabu lalu untuk ke Ho Chi Minh, tidak pula timbul sebarang masalah. Tidak pula Maryam ditahan dan dilarang menaiki pesawat sewaktu check in. Sedangkan pada ketika itu Maryam mengalami chicken pox dalam tempoh kira-kira seminggu. Apapun, dia tidak demam lagi,” jelas Saiful.
“Adakah wakil Air Asia Malaysia menghubungi setakat ini?,” soal saya.
“Tidak,” responnya pantas.
Ayah Maryam, Mohd Reza Mat Jan dijangka bakal terbang ke Ho Chi Minh petang esok.
“Pada mulanya dia ingin ke sana hari ini. Dia bimbang mengenangkan nasib isteri dan anaknya tetapi paspot Reza disimpan di peti keselamatan bank. Oleh itu penerbangan terpaksa ditunda esok,” kata Saiful.
Jam 3.15 petang, saya menghubungi Norhamiza.
“Saya menelefon adik, Ahmad Johanis, kini bertugas dengan Tourism Malaysia di New York, Amerika Syarikat. Dia kemudian menghubungi Tourism Malaysia di Vietnam. Wakil Tourism telah bercakap dengan kakitangan Kedutaan Malaysia di Vietnam. Staf MAS baik budi, menjemput Izan, Maryam dan dua saudara kami dan membawa mereka ke hospital.
Mereka ke hospital kerajaan, caj hanya USD20 untuk pemeriksaan Maryam. Hospital swasta mengenakan caj lebih mahal, USD200. Wakil Hong Leong Bank di sanapun menghubungi Izan, menawarkan tempat tinggal, jika tiada. In Shaa Allah, andai tiada aral melintang MAS akan menguruskan penerbangan balik mereka hari ini juga,” jelas kakak Izan itu, tenang.
Justeru itu, ayah Maryam membatalkan hasratnya untuk terbang ke Ho Chi Minh.
Semalam, saya terdengar kenyataan dilontarkan oleh wanita dalam loghat Terengganu di lapangan terbang di Ho Chi Minh.
“Apa fasal Mazidul hendak menyibuk? Ini prosedur di tempat orang, bukan di Malaysia. Suruh dia duduk”
Biarlah saya jelaskan di sini.
Saya sekadar ingin membantu mereka dalam kesusahan tanpa dibayar sesen pun. Tindakan itu saya fikirkan lebih wajar berbanding diam membatu dan mengutuk tindakan individu lain tanpa mengetahui fakta kejadian sebenar.
Kalau puan pengumpat itu ditakdirkan mendepani masalah sama, In Shaa Allah, saya cuba membantu tanpa mengambil kira identiti dia. Kalau berkebetulan dia taukeh syarikat pengeluar keropok lekor atau kain baju, Alhamdulillah, mungkin jika berkunjung ke Terengganu, boleh saya membeli se peket keropok lekor dan baju Melayu dengan harga diskaun.
Yeah!
“Kita semua rakyat Malaysia dan seharusnya saling bantu-membantu sewaktu dalam kesempitan. Kami membayar tiket kepada Air Asia dan menaiki pesawat Air Asia. Sekurang-kurangnya apalah salahnya andai kakitangan mereka di Vietnam menghantar ahli keluarga saya ke hospital pada malam itu. At least kami berasa mereka selamat sebelum terpaksa meninggalkan mereka,” komen Norhamiza.
Sekalung penghargaan kepada penumpang pesawat AK 1455 pelbagai bangsa, sudi menhulurkan wang ringgit mereka secara ikhlas untuk membantu Izan dan Maryam semalam.
Ikuti laporan kisah ini di akhbar NST esok. (www.mazidulakmal.com)