![]() |
Berfikir secara positif tentang pemasangan Kamera AES |
PEMASANGAN kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi
mengawal tingkah laku dan pemanduan melebihi had laju dalam kalangan pengguna
jalan raya tiba-tiba menimbulkan polemik.
Ia menjadi kontroversi apabila ada pihak beranggapan sistem
itu menyebabkan rakyat terbeban dengan belenggu saman. Lebih hangat apabila isu
ini telah dijadikan modal kempen politik yang mungkin tidak menyelesaikan isu
kemalangan jalan raya itu sendiri.
Tidak dapat dipastikan sama ada kamera ini yang bermasalah
atau kita mempunyai persepsi salah terhadap budaya selamat di jalan raya.
Cuba fikirkan, mengapa ketika kita memandu di negara lain
yang ketat peraturan lalu lintas, kita boleh mematuhi peraturan yang dikenakan,
tetapi kita seolah-olahnya tidak dapat menerimanya di negara kita sendiri.
Benarlah, sistem AES akan menyebabkan lebih ramai pengguna
yang akan disaman, khususnya apabila ada yang memandu dengan kelajuan melebihi
had yang dibenarkan.
Ia mungkin menyebabkan sebahagian pengguna jalan raya,
khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan sistem ini.
![]() | ||
Akibat tidak mematuhi peraturan jalan raya |
Bagaimanapun, kita mungkin perlu juga melihat kepada beban
lain yang mungkin tidak disedari. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (Miros) dalam kajiannya merekodkan bahawa terdapat lebih 400,000 kes
kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2010.
Pada tahun yang sama, dilaporkan sebanyak 6,872 kes kematian
kerana kemalangan jalan raya.
Kes kemalangan jalan raya semasa pergi dan pulang daripada
kerja juga nampaknya meningkat. Daripada lebih kurang 17,000 kes pada tahun
2001, ia mencecah lebih 22,000 kes pada tahun 2010.
Impak daripada kemalangan jalan raya ini mungkin bukan
sedikit. Ia memberi kesan kepada individu, keluarga dan negara. Akibat
kemalangan, ada yang mungkin berubah daripada manusia normal kepada individu
kelainan upaya.
Kesulitan hidup
Ini akan menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Ada pula
yang mungkin meninggalkan balu dan anak yatim di rumah sekali gus berdepan pula
dengan kesulitan hidup yang lain.
Semua ini sebenarnya antara kesulitan yang terpaksa dihadapi
hanya kerana kecuaian memandu di jalan raya.
Dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya, ia sebenarnya
bermula dengan sikap manusia itu sendiri. Kemalangan berlaku kerana ada segelintir
pengguna yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan tidak
bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain.
Sikap buruk yang ada pada segelintir individu ini akan
menyebabkan orang lain turut menjadi mangsanya.
Pemasangan kamera AES tidak menyelesaikan semua masalah
kemalangan di jalan raya. Tidak semestinya juga memandu laju itu satu-satunya
sebab kemalangan di jalan raya.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia sedikit sebanyak
membantu kita mengubah sikap pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan.
Untuk permulaan, ia mungkin sedikit 'mengganggu' kehidupan
kita yang biasanya mungkin memandu tanpa mengikut peraturan. Namun, untuk
jangka masa panjang, ia mungkin membantu mewujudkan persepsi baharu kita
terhadap budaya selamat di jalan raya.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa hanya ada satu cara untuk
menghidupkan budaya selamat ini. Ia mesti bermula dengan polisi dan
penguatkuasaan.
Di kebanyakan negara maju misalnya di Australia, pemasangan
kamera AES ini bukanlah merupakan isu yang besar. Kita akan melihat begitu
banyak kamera yang dipasang, bukan sahaja di lebuh raya, malah di kebanyakan
lampu isyarat di tengah bandar.
Walau bagaimanapun, kamera ini bukan masalah yang besar
kepada masyarakat yang mengutamakan peraturan dan keselamatan jalan raya.
Menegur pengguna
Malah, orang awam sendiri boleh melaporkan kepada pihak
polis sekiranya ada pemandu yang melakukan kesalahan, misalnya tidak memakai
tali pinggang keledar atau memandu secara cuai. Orang awam juga boleh menegur
pengguna yang lain sekiranya ada yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Negara-negara maju ini melaksanakan undang-undang yang jauh
lebih ketat daripada apa yang cuba kita terapkan.
Tidak hanya had kelajuan maksimum, bahkan kenderaan tidak
boleh diparkir sesuka hati. Kereta yang diparkir di tepi jalan tidak boleh
menghadap arah yang bertentangan dengan arah jalan.
Ada kawasan-kawasan tertentu, kenderaan hanya boleh diparkir
tidak lebih daripada 15 minit. Itu belum termasuk udang-undang yang menghalang
merokok di dalam kenderaan sekiranya ada kanak-kanak bersama di dalamnya.
Bagaimanapun, budaya selamat dan berhemah ini belum lagi
muncul dalam budaya kita. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk memastikan
masyarakatnya mematuhi peraturan di jalan raya, kita pula masih berlumba-lumba
untuk menunjukkan siapa yang paling hebat di jalan raya dengan memandu secara
laju dan membahayakan.
Persepsi salah kita terhadap budaya selamat itulah
sebenarnya menjadi punca mengapa ada pihak yang tidak mampu menerima
pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berwajib.
Satu-satunya cara untuk kita semua mengelakkan disaman ialah
mematuhi peraturan jalan raya. Diharap, kita semua harus berfikiran positif tentang kamera ini cuma mungkin cara pelaksanaannya harus diperbaiki.