![]() | ||||
Azwanddin Hamzah-Presiden JMM |
Jika benar apa yang didakwa oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bahawa
Suara Inisiatif Sdn. Bhd. bukan satu-satunya syarikat yang dikaitkan
dengan pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang
menerima dana asing, maka penulis meminta agar pihak kerajaan segera bertindak! Menurut JMM yang memperoleh maklumat daripada bekas anggota Suaram
sendiri, sebuah lagi syarikat yang diguna pakai oleh Suaram adalah
Suaram Komunikasi yang menerima dana asing iaitu daripada National
Endownment For Democracy (NED).
Ia untuk membiayai kegiatan ceramah politik dan menggerakkan
demonstrasi jalanan dengan motif memfitnah kerajaan serta beberapa
pemimpin negara ini.Lebih buruk lagi, ia didakwa digunakan sebagai habuan rasuah kepada pegawai dalam agensi kerajaan bagi kepentingan sekutu Suaram.
Keadaan itu, jika benar, menjadikan Suaram umpama patung wayang kulit dan pihak asing menjadi pak dalangnya. Sekali lagi, jika itu semua benar, nampak jelas pengaruh luar menguasai pihak tempatan dalam merencana satu agenda jahat; yang secara jelas cuba mengetepikan suara rakyat negara ini dalam membuat keputusan.
Walaupun Suaram menafikan dakwaan itu, pihak berkuasa perlu menyiasat pendedahan tersebut supaya mengenal pasti pemilik syarikat terbabit serta mengambil tindakan perlu.
Mana mungkin masa depan negara kita diserahkan kepada pihak luar untuk mencaturkannya. Apakah cara tersebut menyuburkan sistem demokrasi serta pengiktirafan hak asasi manusia seperti yang dilaung-laungkan? Padahal itu semua suatu percubaan jahat yang mahu menafikan hak dan kebebasan rakyat sebuah negara berdaulat.