Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan tujuh 'Rukun
Kemenangan' sebagai 'senjata' menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk menjamin
kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Sambil menyatakan pilihan raya umum akan datang bakal
memberi cabaran amat getir, Timbalan Presiden UMNO berkata, rukun tersebut
ialah patuh kepada pemimpin, atur strategi dengan tepat, fahami peranan dan
tanggungjawab, kenali siapa musuh, kejapkan perpaduan, mesti bersiap siaga dan
berjuang habis-habisan.
"Tujuh rukun yang saya sebutkan tadi...ini nanti akan
kita sebarkan supaya dapat diteliti di semua peringkat pemimpin dan anggota
parti di seluruh negara untuk menentukan agar kita beroleh kejayaan.
"Kita mahu menentukan kubu-kubu kuat kita dipertahankan
agar kawasan yang kalah dapat kita tebus kembali," katanya ketika
menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) baru-baru ini.
Menurutnya, bagi rukun yang pertama, ketaatan dan kesetiaan
wajib dilaksanakan dengan menerima segala bentuk keputusan yang dibuat oleh
pemimpin parti mengenai hal-hal berkaitan pilihan raya sama ada berkaitan
tugas, tanggungjawab ataupun soal pemilihan calon dan kawasan pilihan raya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rukun
kedua ialah mengatur strategi tepat mengikut kesesuaian di negeri masing-masing
kerana pendekatan digunakan mungkin berbeza.
"Apa pun yang penting, kita mempertahankan segala
kekuatan yang ada, menentukan kawasan yang sudah pun dimenangi dan negeri yang
dikuasai terus kekal di bawah BN. Kawasan-kawasan yang kita kalah pada pilihan
raya umum lalu hendaklah ditebus semula supaya kita beroleh kejayaan lebih
besar.
"Soal ketiga ialah memahami peranan dan tanggungjawab
yang perlu dilaksanakan. Saya percaya saudara yang sudah bersama-sama dalam
gerakan pilihan raya sejak dahulu dapat memikirkan tentang bagaimanakah tugas
dan tanggungjawab yang hendak dipikul dengan lebih bersungguh-sungguh,"
katanya sambil meminta strategi itu dilaksanakan dengan tersusun dan rapi bagi
mencapai kemenangan besar.
Beliau berkata, semua ahli UMNO juga mesti mengenali musuh
UMNO dan BN iaitu pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan Pas yang disifatkan sebagai kuda tunggangan kepada kedua-dua
parti sekutunya itu sehingga menyebabkan umat Islam keliru serta mewujudkan
perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
"Di samping kita mengenali musuh ini, kita juga mesti
tahu gerakan yang mereka lakukan di setiap peringkat iaitu nasional, negeri,
kawasan, cawangan dan akar umbi. Jangan biarkan mereka tembusi setiap kawasan
kita dan sebab itu perkukuhkan kubu kita dan tanggungjawab itu haruslah
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," katanya.
Beliau berkata, rukun kemenangan kelima ialah kesemua ahli
UMNO dan BN mesti kejapkan perpaduan dan merapatkan barisan dengan
menyelaraskan setiap tindakan di semua peringkat termasuk tidak menimbulkan
perbalahan.
"Kita mesti sederap dalam semua langkah, jangan
bangkitkan isu-isu baru, jangan timbulkan masalah yang boleh merudum keadaan
kita menjadi lebih lemah seperti yang berlaku pada masa-masa yang lepas. Maka,
tanggungjawab kita ialah bersama-sama mengukuhkan kedudukan kita,"
katanya.
Jelasnya, dalam peperangan, kesiapsiagaan semua bala tentera
juga amat penting iaitu bukan sahaja dari segi fizikal, malah mental dan rohani
untuk mengharungi cabaran besar dalam pilihan raya umum akan datang.
"Jangan kita leka, jangan kita lalai, segala bentuk
logistik yang biasa disediakan hendaklah kita lengkapkan di setiap peringkat
termasuk di peringkat cawangan," katanya.
Menurut Muhyiddin, senjata terakhir yang perlu 'dihunus'
semua ahli UMNO dan BN adalah berjuang habis-habisan untuk memerangi pakatan
pembangkang yang kini kian terdesak untuk mencapai cita-cita mereka sedangkan
sokongan rakyat kepada UMNO dan BN semakin meningkat.
"Gerakan dan asakan yang akan dibuat oleh pihak
pembangkang lebih hebat daripada biasa. Kita jangkakan mereka berada dalam
keadaan cukup 'desperate', mereka sudah merupakan desperado kerana menjangkakan
tidak akan mendapat sokongan rakyat," katanya.
Muhyiddin turut meminta semua Bilik Gerakan BN di peringkat
negeri dan bahagian digerakkan sepenuhnya bermula hari ini hingga pilihan raya
umum akan datang khususnya untuk menarik lebih banyak sokongan rakyat kepada
parti itu.