Keengganan kerajaan negeri Selangor memberi kerjasama kepada
kerajaan Pusat bukan sahaja mengakibatkan Lembah Klang berdepan masalah bekalan
air malah risiko gangguan bekalan elektrik yang serius.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai
(gambar) berkata, risiko itu wujud kerana projek Pengukuhan Sistem Kawasan
Tengah (CAR) yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tertangguh dengan
baki kabel voltan tinggi sepanjang 1.5 kilometer di Kampung Sungai Terentang,
Rawang sejak empat tahun lalu.
Jelas Siang Chai, beliau kecewa dengan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil sikap lepas tangan dalam
isu berkenaan dengan tidak bertindak bagi menyelesaikan masalah penduduk di
kawasan itu selain memberi kerjasama penuh kepada TNB.
"Beliau pernah berjanji untuk meninjau tapak projek dan
laluan kabel itu, tetapi selepas setahun, beliau tidak berbuat demikian atau
memberi penjelasan, ini sikap Menteri Besar yang kurang bertanggungjawab.
"Kalau kita tidak menjaga sistem elektrik dan membantu
TNB, kita mungkin boleh berdepan keadaan seperti di India yang mana 600 juta
penduduk tiada elektrik selama dua hari ini, ini adalah kerugian yang besar
kepada negara," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Baru-baru ini, Naib Presiden (Penghantaran) TNB, Datuk
Rozimi Remeli berkata, penangguhan berterusan projek CAR yang bernilai RM300
juta itu akan mengakibatkan risiko gangguan bekalan elektrik yang serius di
Selangor dan Lembah Klang kerana bebanan tenaga bagi kawasan tengah Semenanjung
semakin meningkat.
Menurut beliau, TNB telah mengadakan mesyuarat dengan Majlis
Tindakan Negeri Selangor sebanyak 27 kali, namun sehingga kini isu tersebut
masih belum dapat diselesaikan.
Projek CAR yang dimulakan pada 2005 melibatkan pemasangan
kabel voltan tinggi sepanjang 60 kilometer antara Bukit Tarek di Rawang dan
Kampung Chubadak, Sentul namun tertangguh dengan baki jarak 1.5 kilometer di
Kampung Sungai Terentang sejak empat tahun lalu ekoran bantahan penduduk di
kawasan itu.
Menurut Siang Chai, pakatan pembangkang pernah berjanji
menyelesaikan masalah penduduk di Kampung Sungai Terentang semasa kempen Pilihan
Raya Umum 2008 namun janji itu tidak ditepati walaupun sudah lima tahun
pembangkang menguasai kerajaan negeri.
"Pembangkang kata akan selesaikan selepas 100 hari
menang, sekarang sudah berapa tahun? Saya mahukan Menteri Besar memberi
jawapan, kalau dalam dua minggu masih tiada jawapan, ada pihak akan
berdemonstrasi di depan Pejabat Menteri Besar," katanya yang juga
Pengerusi MCA Selangor.
Menurut Siang Chai, beliau berharap penduduk di kawasan itu
tidak lagi terpedaya dengan janji-janji pembangkang untuk menyelesaikan masalah
tersebut sebaliknya memberi keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN)
mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak.