Saturday, March 15, 2014

Dua wanita bersaing, siapa lebihh berkaliber? @chewmeifun @drwanazizah #prkkajang


Panas..panas...panas....PERANG di Kajang sudah bermula. Dua wanita bersaing. Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili Barisan Nasional (BN), ditentang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).  Persaingan satu lawan satu ini amat menarik dan pasti menjadi tumpuan. Menariknya kerana dua wanita yang bersaing ini mempunyai kapasiti dan personaliti tersendiri. Chew, 50, merupakan Naib Presiden MCA, manakala Wan Azizah, 61, pula Presiden PKR.


Selain menarik kerana menyaksikan pertembungan dua wanita, Kajang juga merupakan pilihan raya kecil pertama (PRK) selepas PRU-13. Sudah pasti, ia dianggap penting bagi kedua-dua BN dan PKR. Dan penentunya terletak di hujung jari 39,278 pemilih berdaftar di situ.  Penulis mengikuti perkembangan di Kajang dari semasa ke semasa. Melalui pelbagai wadah alam maya, termasuk twitter dan warga netizen selain wadah konvensional seperti media arus perdana dan televisyen.



Chew yang diketengahkan BN dilihat sebagai `underdog' berbanding calon PKR. Kawasan tersebut dikatakan kubu pembangkang di negeri yang juga dikuasai pembangkang. Maknanya, PKR memiliki kelebihan berbanding BN.
Begitu pun, ia tidak harus melemahkan jentera kempen BN. Sebaliknya, ia mesti dijadikan motivasi untuk mencapai kejayaan, atau setidak-tidaknya prestasi lebih baik daripada PRU-13 lepas.

Kita melihat pemilihan Chew amat bertepatan, calon terbaik untuk mewakili rakyat Kajang. Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bukan saja berpengalaman luas dalam membantu dan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi juga tegas berpegang pada prinsip perjuangannya.  Chew mempunyai banyak kelebihan dari segi integriti dan pengalaman yang dimilikinya tidak syak lagi, pemilihan beliau adalah satu keputusan tepat kerana beliau seorang yang ada kredibiliti, integriti dan pengalaman yang cukup luas.

Justeru yang penting dalam kempen ini, gerakan mesti bijak dan sasaran tepat. Kerana BN juga mempunyai penyokong tegar di situ selain semakin ramai dikatakan berstatus atas pagar.  Kalau dianalisa keputusan Kajang dalam PRU-13 pada 5 Mei tahun lalu, pembangkang memperolehi majoriti 6,824 undi dalam pertandingan enam penjuru, melibatkan calon BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Dalam berhadapan PRK Kajang kali ini, BN harus menumpukan kepada pengundi atas pagar ini tanpa melupakan penyokong tegar. Pengundi atas pagar ini boleh menjadi faktor penentu kemenangan, apatah lagi dikatakan ramai yang dulu tegar bersama pembangkang sudah mulai jauh hati akibat pelbagai isu dalaman melanda PKR dan kemelut kepemimpinan kerajaan Selangor.

Bagi jentera BN, usaha yang perlu dilakukan termasuk meyakinkan pengundi Kajang mengenai kebaikan BN serta komitmen membela nasib rakyat. Kita juga kena jelaskan serta terangkan perkara benar, termasuk perbalahan dan kepincangan kerajaan pembangkang, khususnya di Selangor.
BN perlu berhati-hati dalam menghadapi pembangkang di Kajang supaya kita tidak terperangkap dalam jerat yang mereka pasang. Kita maklum, Kajang sinonim dengan sate. Dan peniaga sate ini menarik kerjanya -- ada tukang cucuk dan ada tukang kipas. Jika kita tidak hati-hati, takut nanti cucukan dan kipasan mereka terkena kita!

Kempen bermula sejurus penamaan calon selesai pada Selasa, dan berlarutan sehingga pengundian pada 23 Mac depan.  Jumlah keseluruhan pengundi Kajang terdiri daripada Melayu (48 peratus), Cina (40 peratus) dan India (10 peratus). Mengikut perangkaan, sebanyak 50 peratus daripada jumlah pengundi adalah wanita.  Dalam kempen ini, gerakan BN seharusnya lebih fokus dan mesti bersifat ofensif.