Pendirian Dewan Ulama Pas yang menyerahkan kepada orang ramai menilai kenyataan Naib Presiden Pas, Nurul Izzah Anwar berhubung orang Melayu perlu diberi kebebasan memilih agama amat mengejutkan penulis memandangkan isu tersebut berkaitan akidah.
Lantas penulis cuba mendapatkan pandangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, pendirian itu bukan sahaja mencalarkan imej dewan tersebut malah memberi gambaran buruk terhadap Pas yang selama ini menjunjung konsep kepimpinan ulama.
"Apa yang dilakukan Nurul Izzah ini sememangnya merupakan fitnah dalam agama. Fitnah bukan setakat membuat tuduhan tidak betul, bahkan melakukan tafsiran salah, melakukan penyelewengan, menimbulkan huru-hara atau melakukan pembohongan terhadap al-Quran juga adalah fitnah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pendirian Dewan Ulama Pas menyerahkan kepada orang ramai menilai kenyataan Nurul Izzah itu seperti yang dilaporkan media hari ini.
Ketuanya, Datuk Harun Taib percaya, rakyat sudah tahu menilai kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Selain itu, Harun berkata, terserah kepada pertimbangan Nurul Izzah sama ada perlu menarik balik kenyataannya yang penuh kontroversi tersebut atau tidak.
Fathul Bari berkata, dalam isu itu sudah terang lagi bersuluh Nurul Izzah tersalah tafsir ayat tersebut tetapi malangnya ulama dalam dewan ulama parti berkenaan tidak melakukan apa-apa sebaliknya sekadar menyerahkannya kepada rakyat untuk menilai.
"Saya minta mereka membaca ayat 7 surah Ali-Imran yang berkaitan dengan sifat ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat. Renungkanlah ayat ini kerana mereka terdiri daripada golongan ulama yang sepatutnya menyatakan kebenaran apatah lagi berkaitan dengan akidah," katanya.
Beliau berkata, mereka juga perlu memahami ayat 159 surah al-Baqarah berhubung kesan mereka yang menyembunyikan ilmu pengetahuan menerusi firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan dan petunjuk hidayah, setelah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh mereka yang diberi mandat untuk melaknat."
Mengapa ulama dan golongan pemuda dalam Pas tidak menyatakan pendirian tegas terhadap kenyataan Nurul Izzah itu? Ini soal akidah iaitu perkara yang amat besar dan tiada kompromi dalam Islam.