Friday, November 30, 2012
UMNO Gesa Pakatan Jangan Perlekehkan Isu Agama & Bangsa Demi Politik@umbkl@NajibRazak#PAU2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berikrar bahawa beliau bersama-sama pimpinan UMNO akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menaikkan martabat orang Melayu.
Beliau juga berjanji akan terus mempertahan akidah umat Islam dan memelihara agama yang suci ini.
"Saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan rasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan "Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional" pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini.
Beliau berkata UMNO juga tidak akan berundur daripada terus berbakti kepada rakyat Malaysia walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan.
"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam," kata Najib.
Dalam ucapannya itu, perdana menteri turut memperlihatkan sikap rendah dirinya apabila meminta maaf bagi pihak kepimpinan parti dan kerajaan atas segala kesalahan yang dilakukan.
"Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah disandung atau tersalah.
"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan 10 memohon maaf atas kekhilafan," katanya.