Friday, November 9, 2012

"Mama, Tolong Izzah" @n_izzah



Nurul Izzah sebelum ini mendakwa akan menyaman akhbar-akhbar yang dituduh memutarbelit kenyataannya. Namun, seperti juga bapanya ketika menuduh media memutarbelit kenyataannya mengenai sokongan terhadap Israel sebelum ini, mereka hanya memilih untuk menyaman akhbar berbahasa Melayu atau pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia.

Dalam kes bapanya itu, yang mula-mula menyiarkan kenyataannya adalah The Wall Street Journal dan dalam kes Izzah, adalah Malaysiakini tetapi nampaknya Izzah dan bapanya langsung tidak berminat untuk menyaman media tersebut, malah tidak langsung menafikan laporan mereka.

Sedangkan, akhbar pro-kerajaan hanya memetik laporan dari sana, kemudian menyiarkan ulasan, pandangan serta pendapat berbagai pihak terhadap kenyataan mereka pula yang menjadi sasaran serangan mereka.

Walaupun tiada putar-belit, tiada manipulasi dalam laporan yang dibuat media ini, tetapi Izzah nampaknya menjadi tidak tentu arah sekali. Risau sekali Izzah dan keluarganya apabila terserlah pendiriannya yang ‘longgar’ terhadap soal murtad.

Dari kenyataan Izzah, sekali lagi segala bukti mengenai fahaman Anwar dibangkitkan. Ucapan-ucapannya yang kontroversi yang jelas menyatakan bahawa ‘semua agama adalah sama’, kembali dipaparkan oleh para blogger. Rakan-rakannya di dalam ABIM yang telah lama meragui dan menghentamnya berkenaan isu ini boleh saja muncul membuat kenyataan mengesahkan fahamannya. Pendek kata, begitu banyak bukti dan saksi yang mampu membuktikan fahaman plural dan liberal Anwar.

Mungkin menyedari betapa sukarnya untuk membela diri dari tuduhan menganut fahaman pluralisme dan liberalisme, maka strategi keluarga ini bagi memulihkan pandangan ramai terhadap Izzah hanyalah dengan meraih simpati. Untuk itu lah maka Wan Azizah pelakon handalan, perlu memainkan peranan di muka depan.

Strategi ini mungkin berkesan jika tujuannya adalah untuk meraih simpati untuk Wan Azizah, tetapi lebih dari itu ia hanya menunjukkan betapa lemahnya Nurul Izzah. Nurul Izzah yang selama ini menonjolkan diri sebagai politikus lantang dan tidak berfikir panjang untuk menyerang tiba-tiba memperlihatkan dirinya sebagai wanita yang lemah, tidak berdaya atau mangsa kerakusan politik lawan.

Sedangkan, hakikatnya, Nurul Izzah bukan mangsa, beliau adalah ahli politik dan pemimpin. Beliau bukan bermain ombak atau membuat rumah di tepi pantai, tetapi beliau sedang berenang di tengah lautan atas pilihannya sendiri dengan berani sekali.

Justeru, jika beliau membuat kenyataan, beliau wajib bertanggungjawab ke atasnya. Jika beliau mempunyai pendirian bahawa Umat Islam perlu bebas menukar agama, maka beliau wajib mempertahankan pendiriannya, dengan tegas dan lantang juga biar apa jua kritikan, kecaman mahupun hukuman yang bakal diterima.

Kini, tidak boleh disangkal lagi bahawa Nurul Izzah mewarisi fahaman bapanya yang mendokong pluralisme dan liberalisme. Selama ini beliau berselindung di sebalik tudung dan baju kurung konon keluarganya dididik sebagai Muslim sejati, sedangkan di masa yang sama menyebarkan agenda plural dan liberal bagi pihak ‘tuan-tuan mereka’ di barat.