Tuesday, January 1, 2013

PR Samseng-Simbah Cat Merah Ala "Along" @umbkl#tolakPR

Bukan Pinjam Wang tapi pasal tegur penceramah....


Gara-gara menegur penceramah yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara, rumah seorang penduduk disimbah cat merah.

Mangsa, Ab Halim Tuah Rahmat, 44, berkata, perbuatan khianat tersebut dipercayai dilakukan beberapa pihak setelah dia menegur seorang penceramah di sebuah surau berdekatan dengan rumahnya di Seksyen 5, di sini pada Khamis, minggu lalu.

Menurutnya, dia menyedari rumahnya di simbah cat pada kelmarin oleh jirannya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sewaktu dia dan keluarganya berada di Melaka.

“Saya percaya dan mengesyaki perbuatan ini ada kena mengena dengan pertikaman lidah antara saya dengan penceramah serta jawatankuasa suara setelah mempertikaikan tindakan penceramah menghina Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara dalam kuliah maghrib.

“Saya juga percaya tindakan mereka ini cuba untuk menakut-nakutkan saya dan keluarga supaya saya berdiam diri dalam perkara ini,” katanya yang baru tinggal di Seksyen 5 Wangsa Maju pada tahun ini.

Halim yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dia tetap akan mempertahankan tindakannya bagi menjaga nama baik institusi Raja dan pemimpin negara daripada sebarang tohmahan.

Katanya, dia akan memberi tempoh seminggu kepada pelaku yang menyimbah cat ke rumahnya untuk membersihkan rumahnya.

“Kejadian menghina Yang di-Pertuan Agong ini juga adalah kali kedua di surau sama setelah saya pernah membuat laporan polis mengenainya pada 15 November 2012,” katanya.

Jelasnya, dia turut difahamkan oleh orang ramai bahawa penceramah tempoh hari bukanlah seorang ustaz yang layak memberi ceramah agama tetapi merupakan bekas anggota tentera dan polis yang dipecat.

Menurutnya, perbuatan penceramah itu jelas secara terang-terangan bermotifkan politik untuk menyerang kedudukan institusi Raja-raja Melayu dan memfitnah pemimpin negara.

Sementara itu, jiran mangsa, Wan Ahmad Wan Ngah, 56, berkata, dia menyedari kejadian berlaku apabila tingkap rumahnya pecah dan bengkok setelah dipercayai terkena balingan batu.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati rumah jiran saya disimbah cat merah dan saya segera menghubungi tuan rumah selepas itu,” katanya.