Wednesday, January 2, 2013

Rebat Telefon Pintar-Jangan Had Harga Telefon@umbkl@Khairykj



Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mengehadkan rebat RM200 kepada telefon pintar berharga RM500 sahaja.

"Tak perlu ada had harga untuk rebat yang diberi untuk telefon pintar," kata beliau dalam mesej yang diajukan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini, menerusi Twitter.

Dalam mesej berasingan, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menulis bahawa ucapan Bajet 2013 hanya menyebut tentang pendapatan belia yang layak menerima rebat telefon pintar, bukannya harga telefon pintar.

Menjawab mesej pengikutnya, Khairy berkata: "Setuju. Kalau nak bagi rebat RM200, bagi sajalah kepada semua telefon pintar."

Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau menyatakan demikian ekoran rungutan orang ramai berhubung laporan media bahawa SKMM telah menerbitkan kriteria menikmati rebat RM200, antara lain pembeli seharusnya warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun; berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500, pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baru dan hanya satu telefon pintar untuk seorang belia.

Menurut notis SKMM, program rebat di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) telah diperuntukkan sejumlah RM300 juta oleh kerajaan yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia.

Permohonan untuk rebat adalah terbuka dari 1 Januari hingga 31 Disember depan dan para belia yang berminat boleh memohon melalui laman web SKMM.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dipetik berkata, had harga adalah perlu kerana dasar itu direka untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan para belia untuk memiliki telefon pintar sendiri.

Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan pada 28 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rebat RM200 akan diberi ke atas pembelian telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun, dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah atau tanpa pendapatan bulanan, daripada peniaga yang dibenarkan bawah Pakej Komunikasi Belia.